‘Eh, Awang cuba kau tengok si Aslam
tu. Tak pandai betul nak buat assignment ni. Pelik betul aku, benda
senang je kot. Itu pun tak pandai. Kalau kita tak tengok, alamatnya ke
laut la assignment kita ni’.
Pakar
motivasi mengatakan bahawa ‘Orang yang sentiasa positif akan nampak
nilai positif terhadap sesiapa sahaja, dan begitulah sebaliknya’. Jadi,
dalam konteks ini, seorang sahabat yang melihat kekurangan dan kelemahan
sahabatnya boleh la dikategorikan sebagai orang yang negatif.
Sedar atau tidak, sikap sebegini mampu memudharatkan diri sendiri. Masakan tidak, minda negatif asyik bermain di fikiran. Kesannya, segala tugas yang dilakukan
dianggap bebanan, sahabat sendiri tidak disukai, persoalkan kejayaan
yang orang lain perolehi dan bermacam-macam lagi situasi.
Haiii, padanlah hari-hari muka ketat aje, langsung tak lemparkan senyuman! Cuba bangkit dan nilai kembali. Jadilah
cermin mata kehidupan. Cermin mata yang mampu menilai kekurangan dan
kelemahan orang lain untuk dibantu dengan seikhlas yang mungkin. Manfaatkanlah cermin mata kehidupan
untuk menyerap kelebihan-kelebihan insan lain untuk dijadikan contoh.
Ye, dalam kita tidak sedar, kadang kala kita menjadi cermin mata yang
negatif. Menilai yang bukan-bukan terhadap orang
lain. Dan, hari ini nilai kembali cermin mata kita agar kembali menjadi
positif. Melihat setiap tindakan orang lain melalui pandangan yang positif.
Dan, dalam erti kata sentiasa berbaik sangka terhadap orang lain.
‘ Roy, serius ni. Anak-anak aku tak nak dengar cakap aku. Puas la aku marah, nasihat semua. Semuanya sia-sia. Haii, aku rasa didikan aku selama ni salah. Lepas ni, aku kena belajar lagi la macam mana nak didik anak-anak ni dengan betul’
Subhanallah, lihatlah. Seorang ayah yang
cuba untuk baiki cara didikan terhadap anaknya. Ini, hanya satu analogi
berkaitan cermin muka kehidupan. Benar, ayah ini cuba baiki didikannya
demi untuk kebaikan anak-anaknya. Ayah ini lebih melihat dan kenal pasti
kesalahan yang dilakukan dalam mendidik anaknya.
Dan, akhirnya ayah ini cuba untuk fikirkan untuk tingkatkan lagi cara didikan tersebut. Lihat, inilah cermin muka kehidupan yang
sebenar. Sahabat, aplikasikanlah dalam kehidupan kita. Pandanglah
cermin muka ini sebaiknya dan telitilah ia sedalamnya. Apabila kita melihat wajah kita di dalam
cermin, kita pasti melihat wajah kita yang sebenar. Dan, percayalah
cermin ini tidak pernah menipu. Ya, lihat wajah kita. Makin hari
ditatap, kita akan sedar bahawa wajah itu pasti kedut juga dimamah usia.
Nah, inilah dia yang sebenarnya. Sedar diri. Sedar!. Sekali lagi, gunakanlah cermin muka
kehidupan ini sebaiknya. Tilik dan nilailah segala kelemahan yang ada
pada diri sendiri. Bukan untuk ditangisi, namun harus diperbaiki. Setiap kelemahan yang Allah kurniakan,
pasti ada jalan untuk kita baiki. Syukuri dengan setiap kekuatan yang
Allah anugerahkan untuk dimanfaatkan dalam kehidupan. Juga, setiap kelebihan diri yang ada harus digunakan dalam membantu memudahkan setiap urusan yang ada di sekeliling.
Benar, cermin yang ada tidak pernah
menipu. Setiap kali, cermin pasti jujur. Namun, salah kita. Salah kita
dalam menggunakannya. Kita yang tertipu dengan cermin-cermin itu.
Tertipu dengan nilai negatif kita. Terpedaya sikap-sikap buruk kita. Jarang untuk melihat diri. Sering sahaja menunding jari.
Dan, hari ini bertekadlah untuk berdiri
di hadapan cermin muka untuk berusaha menilai diri sendiri. Juga,
bertekad untuk memakai cermin mata dengan harapan melihat kelebihan
orang lain untuk dicontohi. Wahai cermin-cermin kehidupan, moga
tetaplah di situ untuk sama-sama membantu menjadikan setiap insan yang
menggunakannya mendapat manfaat dan sentiasa memiliki nilai positif.
by: sinarislam.com
0 comments:
Post a Comment