Sunday 16 June 2013

Cermin Ajaib Kehidupan

14:44

‘Eh, Awang cuba kau tengok si Aslam tu. Tak pandai betul nak buat assignment ni. Pelik betul aku, benda senang je kot. Itu pun tak pandai. Kalau kita tak tengok, alamatnya ke laut la assignment kita ni’.



    Heyyy, apakah kata-kata itu dilemparkan untuk sahabatnya? Masya Allah, terkejut mendengarnya bukan. Tapi, tidak mustahil berlaku. Ya, benar. Bukan di kalangan pelajar sahaja malah situasi sebegini berlaku kepada mereka yang bekerja. Perasaan dengki dan cemburu malah buruk sangka juga melihat kelemahan orang lain tetap wujud di dalam nilai persahabatan. Aipp, kenapa jadi macam ni?

    Pakar motivasi mengatakan bahawa ‘Orang yang sentiasa positif akan nampak nilai positif terhadap sesiapa sahaja, dan begitulah sebaliknya’. Jadi, dalam konteks ini, seorang sahabat yang melihat kekurangan dan kelemahan sahabatnya boleh la dikategorikan sebagai orang yang negatif.

   Sedar atau tidak, sikap sebegini mampu memudharatkan diri sendiri. Masakan tidak, minda negatif asyik bermain di fikiran. Kesannya, segala tugas yang dilakukan dianggap bebanan, sahabat sendiri tidak disukai, persoalkan kejayaan yang orang lain perolehi dan bermacam-macam lagi situasi. 

   Haiii, padanlah hari-hari muka ketat aje, langsung tak lemparkan senyuman! Cuba bangkit dan nilai kembali. Jadilah cermin mata kehidupan. Cermin mata yang mampu menilai kekurangan dan kelemahan orang lain untuk dibantu dengan seikhlas yang mungkin. Manfaatkanlah cermin mata kehidupan untuk menyerap kelebihan-kelebihan insan lain untuk dijadikan contoh. Ye, dalam kita tidak sedar, kadang kala kita menjadi cermin mata yang negatif. Menilai yang bukan-bukan terhadap orang lain. Dan, hari ini nilai kembali cermin mata kita agar kembali menjadi positif. Melihat setiap tindakan orang lain melalui pandangan yang positif. 

Dan, dalam erti kata sentiasa berbaik sangka terhadap orang lain.
‘ Roy, serius ni. Anak-anak aku tak nak dengar cakap aku. Puas la aku marah, nasihat semua. Semuanya sia-sia. Haii, aku rasa didikan aku selama ni salah. Lepas ni, aku kena belajar lagi la macam mana nak didik anak-anak ni dengan betul’
   Subhanallah, lihatlah. Seorang ayah yang cuba untuk baiki cara didikan terhadap anaknya. Ini, hanya satu analogi berkaitan cermin muka kehidupan. Benar, ayah ini cuba baiki didikannya demi untuk kebaikan anak-anaknya. Ayah ini lebih melihat dan kenal pasti kesalahan yang dilakukan dalam mendidik anaknya. 

   Dan, akhirnya ayah ini cuba untuk fikirkan untuk tingkatkan lagi cara didikan tersebut. Lihat, inilah cermin muka kehidupan yang sebenar. Sahabat, aplikasikanlah dalam kehidupan kita. Pandanglah cermin muka ini sebaiknya dan telitilah ia sedalamnya. Apabila kita melihat wajah kita di dalam cermin, kita pasti melihat wajah kita yang sebenar. Dan, percayalah cermin ini tidak pernah menipu. Ya, lihat wajah kita. Makin hari ditatap, kita akan sedar bahawa wajah itu pasti kedut juga dimamah usia.

   Nah, inilah dia yang sebenarnya. Sedar diri. Sedar!. Sekali lagi, gunakanlah cermin muka kehidupan ini sebaiknya. Tilik dan nilailah segala kelemahan yang ada pada diri sendiri. Bukan untuk ditangisi, namun harus diperbaiki. Setiap kelemahan yang Allah kurniakan, pasti ada jalan untuk kita baiki. Syukuri dengan setiap kekuatan yang Allah anugerahkan untuk dimanfaatkan dalam kehidupan.  Juga, setiap kelebihan diri yang ada harus digunakan dalam membantu memudahkan setiap urusan yang ada di sekeliling. 

   Benar, cermin yang ada tidak pernah menipu. Setiap kali, cermin pasti jujur. Namun, salah kita. Salah kita dalam menggunakannya. Kita yang tertipu dengan cermin-cermin itu.
Tertipu dengan nilai negatif kita. Terpedaya sikap-sikap buruk kita. Jarang untuk melihat diri. Sering sahaja menunding jari.

   Dan, hari ini bertekadlah untuk berdiri di hadapan cermin muka untuk berusaha menilai diri sendiri. Juga, bertekad untuk memakai cermin mata dengan harapan melihat kelebihan orang lain untuk dicontohi. Wahai cermin-cermin kehidupan, moga tetaplah di situ untuk sama-sama membantu menjadikan setiap insan yang menggunakannya mendapat manfaat dan sentiasa memiliki nilai positif. 

by: sinarislam.com

Written by

We are Creative Blogger Theme Wavers which provides user friendly, effective and easy to use themes. Each support has free and providing HD support screen casting.

0 comments:

 

© 2013 Sinar Islam. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top