Pengertian solat jemaah
Solat jemaah ialah solat beramai-ramai yang sekurang-kurang bilangannya selain daripada solat fardhu Jumaat ialah 2 orang. Seorang menjadi imam dan seorang menjadi makmum. Semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pula fadhilat pahalanya.
Solat jemaah ialah solat beramai-ramai yang sekurang-kurang bilangannya selain daripada solat fardhu Jumaat ialah 2 orang. Seorang menjadi imam dan seorang menjadi makmum. Semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pula fadhilat pahalanya.
Solat jemaah adalah berlainan hukumnya menurut jenis solat yang dikerjakan, iaitu:
- Fardhu ain pada solat Jumaat
- Fardhu kirayah pada solat fardhu lima waktu
- Sunat pada solat jenazah dan solat-solat sunat yang disunatkan berjemaah padanya, seperti solat dua hari raya, solat gerhana bulan dan matahari, solat minta hujan, solat terawih dan solat witir pada bulan Ramadhan.
Tuntutan berjemaah pada solat fardhu
Tuntutan berjemaah pada solat 5 waktu yang selain daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.
Jadi bererti apabila sesebuah kampung atau mukim mendirikan solat jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam seperti di masdjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung atau mukim yang tidak hadir bersolat jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan solat jemaah maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.
Dalil tentang amat kuatnya tuntutan berjemaah itu ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bahawa, Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.
Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:
Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid.
Fadhilat (kelebihan) solat berjemaah
Fadhilat solat berjemaah amat besar sekali berbanding dengan solat bersendirian. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda).(Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebenarnya fadhilat solat berjemaah adalah bertali arus, sambung menyambung, mengembang dan membesar. Orang yang bersolat jemaah bukan sahaja mendapat setakat 27 darjat, malah dia akan mendapat banyak fadhilat dan keuntungan sampingan lain lagi semasa dia berulang alik ke masjid dan semasa dia berada dalam masjid.
Selepas ini insya-Allah akan diterangkan fadhilat-fadhilat tersebut untuk menjadi dorongan kepada kita semua agar cintakan solat berjemaah.
www.sinarislam.com
0 comments:
Post a Comment