Sayidina Hasan Al-Basri berkata: “Wahai
sekalian kaum muslimin! Kalau kayu boleh rindu untuk berjumpa dengan
Rasulullah SAW, maka kamu sekalian lebih patut untuk merindui Baginda.”
Kata-kata
ini berdasarkan hadis riwayat Imam Bukhari dari Jabir bin Abdullah
bercerita; “Dahulu Nabi SAW ketika berkhutbah pada hari Jumaat, akan
bersandar pada sebuah pokok kurma, lalu seorang wanita atau seorang
lelaki Ansar berkata: “Ya Rasulullah! Sudikah tuan kami buatkan untukmu
sebuah mimbar? Baginda menjawab: Ya, jika kamu mahu.” Maka, mereka
membuatkan untuknya sebuah mimbar. Seketika itu, terdengar tangisan yang
muncul dari pokok kurma tadi, umpama tangisan seorang bayi. Baginda
turun dari mimbar dan memeluknya sehingga tangisan itu reda umpama
redanya tangisan seorang bayi (yakni ketika ditimang oleh ibunya). Nabi
SAW bersabda; “Pokok itu menangis kerana ia terbiasa mendengar zikir di
sana.
(Fathul Bari Syrah Sahih al-Bukhari)
Betapa sedihnya pokok kurma itu kerana
berpisah dengan sentuhan jasad Nabi SAW . Perasaan rindunya diungkapkan
dengan tangisan yang kedengaran di sebalik pokok yang kaku itu. Jika
kita melihat akan diri kita sebagai seorang manusia yang punya akal dan
hati, sudah semestinya kita menzahirkan rasa kerinduan yang lebih
mendalam terhadap Baginda yang menyinari hidup kita dengan sinaran iman
dan Islam. Sejauh mana kita telah menghidupkan sunnah Baginda dalam
kehidupan kita? Sejauh mana kita telah menyempurnakan akhlak kita
sebagai seorang muslim sejajar dengan akhlak yang ditunjukkan oleh
Baginda? Dan sejauh mana kita mengingati dan merindui Baginda
sebagaimana kerinduan yang dipamerkan Baginda kepada umatnya sebelum
bertemu dengan Allah SWT?
Biarlah kerinduan dan ingatan terhadap
Baginda hidup dalam hati kita sepanjang masa bukan hanya ketika sambutan
maulidurrasul sahaja. “…Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka
terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkan…” (59:7).
Oleh itu, bertindaklah selaras dengan kecintaan kita kepada junjungan
besar Nabi Muhammad SAW. Moga-moga kita tergolong di kalangan mereka
yang memperoleh syafaat Baginda di akhirat kelak insyaAllah.
By: Sinarislam.com
0 comments:
Post a Comment