Thursday 9 January 2014

Pengertian Silaturahim Didalam Islam

17:37

Pengertian Silaturahim Didalam Islam | Kesempurnaan iman seseorang didukung oleh banyak faktor, tidak hanya setakat beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan hari akhirat, bahkan hubungan sesama insan juga menjadi kayu pengukur terhadap kesempurnaan iman seseorang.


Islam amat menuntut umatnya untuk menjaga hubungan silaturrahim sesama manusia, kerana akibat memutuskan silaturrahim itu amat besar risikonya bukan hanya setakat di dunia sahaja bahkan juga di akhirat kelak. Lazimnya, gejala mumutuskan silaturrahim berpunca daripada pertengkaran atau perselisihan yang disebabkan oleh harta benda, harta pusaka, hutang piutang, hasutan, fitnah, sifat sombong dan mementing diri sendiri. Hatta perkelahian antara sesama anak atau jiran tetangga pun juga boleh menyebabkan terputusnya ikatan silaturrahim, di mana kedua-dua pihak saling salah-menyalahkan, didorong lagi jika kedua-duanya tidak mempunyai kesabaran dan sikap terbuka serta mengalah untuk memohon maaf atau saling bermaafan.

Permusuhan dan pergeseran seperti ini boleh berlaku secara berpanjangan jika tidak ada kesedaran dalam diri kedua-dua pihak atau tidak ada orang lain yang mahu meleraikan atau mendamaikan pihak yang bermusuhan ini.

Perlu diingat bahawa tanggungjawab untuk membina semula silaturrahim yang terputus, bukan sahaja terletak kepada dua pihak yang bermusuhan, tetapi sanak saudara atau kawan-kawan yang mengetahui tentang perkara ini juga boleh memainkan peranan yang penting selaku orang tengah dalam mendamaikan dan menyambung semula silaturrahim yang terputus.

Oleh itu binalah ikatan silaturrahim sesama insan dalam apa jua kesempatan, mungkin dalam suasana hari raya, merupakan kesempatan yang baik untuk memulakan hubungan yang baik, tetapi menunggu hari raya mungkin mengambil masa yang lama, oleh itu, carilah kebijaksanaan dalam mencari waktu yang sesuai pada bila-bila masa sebagai satu wadah untuk memperkukuhkan lagi tali silaturrahim.

Persoalannya, apakah hukum dan kesan memutuskan silaturrahim ini? Maklumat ini perlu diketahui supaya dapat dilupakan segala punca pertelingkahan demi mencapai keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.

Pengertian Silaturrahim

Perkataan shillah dari segi bahasa bererti gabung atau kumpul dan makna rahmi pula ialah kaum kerabat yang dekat. Dari segi istilah pula silaturrahim ialah berlaku ihsan kepada kaum kerabat sama ada daripada pihak si penghubung dan yang dihubungkan.

Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telahpun meriwayatkan sebuah hadis qudsi, bahawa Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya:

“Sesungguhnya Allah telah menciptakan makhluk sehingga apabila selesai sebahagian mereka, maka tampillah Rahim dan berkata: “Ini adalah tempat orang yang berlindung dari terputusnya hubungan kekeluargaan”, Allah berfirman: “Ya, Jadi apakah kamu rela kalau Aku menyambung orang yang menyambungkanmu (mendapat balas kasih daripada Allah), dan memutuskan orang yang memutuskanmu (tidak mendapat balas kasih daripada Allah)?” Ia berkata: “Ya.” Allah berfirman: “Maka demikianlah untukmu (Allah menyambungkan rahim orang yang menyambungkan rahim dan memutuskan rahim orang yang memutuskan rahim).”
(Hadits riwayat Muslim)


Berkata Imam an-Nawawi bahawa menurut ulama hakikat shillah itu ialah kemesraan dan belas kasihan. Manakala hubungan silaturrahim Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hambahambaNya ialah dengan melimpahkan kemesraan dan belas kasihanNya kepada hambaNya dengan ihsan dan nikmat atau dengan melapangkan dada-dada hambaNya kerana ta‘at kepadaNya.

Kaum kerabat yang wajib dieratkan ikatan silaturrahim itu termasuklah kerabat mahram dan yang bukan mahram. Dalam Kitab az-Zawajir karangan Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala ada menyebutkan bahawa kaum kerabat itu terbahagi kepada dua iaitu kaum kerabat mahram dan yang bukan mahram:

1. Kaum kerabat mahram ialah saudara yang haram bernikah dengannya seperti bapa, ibu, adik beradik lelaki dan perempuan dan anak-anak mereka, bapa saudara dan emak saudara sebelah bapa dan emak.

2. Kaum kerabat dari bukan mahram ialah saudara yang halal bernikah dengannya seperti anak bapa saudara dan emak saudara sebelah bapa dan anak-anak mereka, anak bapa dan emak saudara sebelah emak dan anak-anak mereka.

Hikmat pensyariatan silaturrahim

Hikmah bersilaturrahim ialah dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

مَنْ َأحَبَّ َأ ْ ن يُبْسَ َ ط َلهُ فِي ِ رزْقِهِ، وَيُنْسََأ َلهُ فِي َأَثِرهِ، َفلْيَصِلْ رَحِمَهُ

(رواه مسلم)

Maksudnya: “Barangsiapa yang suka dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya maka hendaklah dia menyambungkan kekeluargaan (silaturrahim).”
(Hadits riwayat Muslim)


Begitu juga bersilaturrahim itu boleh menambahkan kehormatan dan pahala selepas kematiannya kerana orang-orang akan mendoakannya setiap kali disebut kebaikannya.

Hukum mengeratkan silaturrahim

Tidak ada perselisihan ulama bahawa mengeratkan silaturrahim sesama saudara hukumnya wajib sebagaimana perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam ayat di bawah ini:

Tafsirnya:
“Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”
(Surah an-Nisaa’: Ayat 1)


Kewajipan mengeratkan silaturrahim itu juga disandarkan dengan rasa keimanan kepada Allah sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

وَمَنْ َ كا َ ن يُؤْمِنُ ِباللهِ وَاْليَوِْم الآخِِر َفلْيَصِلْ رَحِمَهُ
.
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Dan siapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia mengeratkan kekeluargaan (silaturrahim).”
(Hadits iwayat Bukhari)

Hukum memutuskan silaturrahim

Memutuskan silaturrahim pula hukumnya haram dan dikira melakukan maksiat besar sehingga mendapat laknat dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala, Sebagaimana firmanNya:

Maksudnya:
“(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan-jika kamu dapat memegang kuasa-kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?. (Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya.”
(Surah Muhammad: Ayat 22-23)

Apatah lagi orang yang memutuskan silaturrahim ini tidak masuk syurga, sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

َMaksudnya:
“Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.”
(Hadits riwayat Muslim)

Bagaimana menghubungkan silaturrahim?

Menurut Ibnu Abu Jamrah bahawa hubungan silaturrahim boleh dieratkan dengan memberi harta, memberi bantuan dan pertolongan dalam menyampaikan hajat, menolak kemudharatan, bersemuka, mendoakan, mengeratkan dengan apa yang termampu daripada perkara kebajikan dan menolak apa yang termampu daripada keburukan.

Sementara bagi mereka yang jauh bolehlah juga berhubung dan berkirim salam dengan berutus surat, akan tetapi jika mampu adalah afdhal untuk menziarahi mereka. Begitu juga dengan mendermakan harta kepada kaum kerabat. Bersedekah kepada kaum kerabat adalah lebih afdhal dari orang lain, sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

الصَدََقةُ عََلى اْلمِسْكِيْ ِ ن: صَدََقٌة، وَعََلى ذِي الرَحْ ِ م اِْثنَتَانِ: صَدََقٌة وَصِلٌَّة
.
(سنن الدارمي)

Maksudnya: “Memberi sedekah kepada orang miskin dikira: satu sedekah, dan memberi sedekah kepada mahram dikira dua iaitu: sedekah dan mengeratkan hubungan.”
(Sunan ad-Darimi)

Bolehkah menjalinkan hubungan silaturrahim dengan orang kafir?

Dalam hal ini, Allah Subhanahu Wa Ta‘ala tidak melarang berbuat baik kepada orang kafir sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya:
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

(Surah al-Mumtahanah: Ayat 8)

Keistimewaan atau kelebihan mengeratkan silaturrahim

Orang yang mengeratkan silaturrahim akan mendapat sepuluh kelebihan yang terpuji sepertimana disebutkan dalam kitab Bujairimi Ala al-Khatib:

1. Allah Subhanahu Wa Ta‘ala redha kerana Dia memerintahkan supaya mengeratkan silaturrahim.

2. Membawa kebahagiaan.

3. Para malaikat gembira kerana mereka gembira dengan eratnya silaturrahim itu.

4. Memperolehi pujian yang baik daripada orang.

5. Mengisi kesedihan Iblis.

6. Dipanjangkan umur.

7. Menperoleh keberkatan rezeki.

8. Orang yang meninggal dunia mendapat kebahagiaan kerana keturunannya gembira dengan eratnya silaturahim itu.

9. Bertambah-tambah kehormatannya.

10. Bertambah-tambah pahala selepas matinya kerana orang-orang mendoakannya setiap kali disebut kebaikkanya.

Oleh yang demikian, eratkanlah silaturrahim dalam mencapai keistimewaan yang tersebut di atas dan jauhilah dari perkara yang boleh memutuskannya. Tanganilah masalah keluarga dengan
perasaan rasional dan eratkanlah semula perhubungan yang sudah retak itu dengan rasa kesedaran serta keinsafan, apatah lagi keranamereka yang tidak mahu berdamai itu akan dipertangguhkan keampunannya, sepertimana hadis Rasullullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya:
“Dibuka pintu-pintu syurga itu pada hari Isnin dan Khamis, Setiap orang yang tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu apapun akan diampuni, kecuali seseorang yang sedang dalam permusuhan dengan saudaranya. Dikatakan: Tangguhkanlah keduanya sampai mereka mau berdamai. Tangguhkanlah keduanya sampai mereka mau berdamai. Tangguhkanlah keduanya sampai mereka mau berdamai.”
(Hadits riwayat Muslim)

Begitu juga mendamaikan di antara dua pihak yang berselisih itu hendaklah dengan adil dan saksama dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak yang berselisih, kerana semua orang yang
beriman itu bersaudara dan bertanggungjawab dalam mendamaikan saudaranya yang lain sebagaimana firman Allah Subahanahu Wa Ta‘ala:

Tafsirnya:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudara (kamu yang bertelingkah) itu.
(Surah Al-Hujurat: Ayat 10)


Sumber : Mufti Brunei

Written by

We are Creative Blogger Theme Wavers which provides user friendly, effective and easy to use themes. Each support has free and providing HD support screen casting.

0 comments:

 

© 2013 Sinar Islam. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top