Thursday 11 October 2012

Kenapa Melayu Islam Sangat Ketinggalan

09:59

ISLAM merupakan sebuah agama yang adil kepada seluruh umat manusia. Sama ada kaya atau miskin, semua masyarakat mendapat manfaat yang sama menerusi pengagihan kekayaan seperti termaktub dalam tuntutan syariat.

Namun persoalan timbul apabila jurang pendapatan masih wujud dalam kalangan negara Islam, khususnya di Malaysia walaupun negara telah mengalami penurunan kadar kemiskinan daripada 8.5 peratus kepada 3.8 peratus dan kemiskinan tegar daripada 1.9 peratus kepada 0.7 peratus dari 1999 sehingga 2009.

Berdasarkan satu kajian, jurang pendapatan isi rumah di Malaysia terbahagi kepada tiga iaitu 20 peratus rakyat Malaysia berpendapatan tinggi mempunyai pendapatan purata sebanyak RM9,987 sebulan, manakala 40 peratus kumpulan pertengahan berpendapatan RM3,631 sebulan dan selebihnya pendapatan rendah berjumlah RM1,440 sebulan.

Data-data itu jelas menunjukkan negara masih mempunyai jurang pendapatan walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar untuk menangani masalah tersebut yang bermula daripada pengenalan Dasar Ekonomi Baru sehingga Model Ekonomi Baru.

Oleh demikian, wujud tanda tanya adakah ia berpunca daripada sistem ekonomi sesebuah negara yang mempunyai banyak kelemahan sehingga rakyat tercicir daripada arus pembangunan? Atau mungkin penyusunan sesebuah ekonomi menjadi punca ketidakseimbangan perkara itu?

Sebaliknya, Pengerusi Institusi Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tun Abdullah Badawi dalam ucapan perasmian seminar Jurang Pendapatan Isi Rumah di Malaysia: Isu dan Cabaran di Dewan Besar IKIM Kuala Lumpur, baru-baru ini menjelaskan masalah jurang pendapatan berpunca daripada sikap tamak umat Islam itu sendiri.

Harta itu amanah


Bagi menjawab persoalan itu, Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan menerusi kertas kerjanya yang bertajuk, Falsafah Penyusunan Sesebuah Ekonomi: Adakah Ia Punca Utama Kepada Ketidakseimbangan Pendapatan dan Kekayaan merungkaikan tajuk seminar itu dengan mendefinisikan ideologi sistem ekonomi Sekular dan Marxis.

Menurut beliau, asas ekonomi sekular dibina atas landasan materialisme dan hedonisme untuk mendidik manusia bersifat rakus dan pentingkan diri, manakala falsafah Marxis pula diwujudkan atas landasan collectivism (usaha untuk negara).

"Ia berbeza dengan penyusunan ekonomi mengikut Islam yang berpaksikan kepada tauhid yang menyusun pelbagai dimensi dalam kehidupan manusia, bersifat sepadu dan dinamik serta membentuk individu melalui pembinaan pandangan hidup yang sempurna.

"Maka tuntutan zakat dan wakaf bagi mengimbangi jurang kekayaan manusia dengan lebihan kekayaan disalurkan kepada golongan kurang bernasib baik dalam usaha semua pihak mendapat faedah dengan adil dan saksama,'' kata Nik Mustapha.

Beliau menambah, Islam mengajar umatnya menghayati bahawa harta adalah satu amanah kurniaan Allah dan ia mesti dibangunkan menerusi keadilan sosial.

"Syariat Islam yang memberi rahmat kepada seluruh alam dalam sistem ekonomi menepati ciri kesempurnaan untuk membawa agenda kesejahteraan kepada seluruh manusia,'' ujar beliau lagi.

Kewajipan zakat


Dalam pada itu, seorang lagi pembentang, Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM, Mohamad Azhar Hashim dalam kertas kerja bertajuk, Pelaksanaan Zakat Dalam Membina Keupayaan Individu berkata, kewujudan suasana ekonomi hari ini memungkinkan setiap individu menjana kekuatan melalui penerokaan pelbagai bidang tanpa had.

Ujar beliau, ia menyebabkan berlaku persaingan hingga menyebabkan timbul golongan tercicir dalam iklim persaingan tanpa sempadan pada hari ini. Oleh yang demikian, Islam telah membawa penyelesaian itu dengan kewajipan zakat.

"Ulama terkenal, Dr. Yusof Qaradhawi menjelaskan tujuan zakat untuk menjamin kehidupan yang layak bagi diri dan keluarganya selain mengubah kemiskinan menjadi kecukupan, kelemahan menjadi kekuatan dan status menganggur menjadi pekerja tetap.

"Pelaksanaan zakat sebenarnya untuk memberi peluang golongan tidak kemampuan dalam sesuatu masyarakat untuk melibatkan diri dalam arus ekonomi perdana dan seterusnya merapatkan jurang pendapatan mereka dengan golongan berada,'' katanya.

Oleh itu, Mohamad Azhar menjelaskan pengagihan zakat yang begitu menyeluruh akan memberi hasil kepada golongan tidak kemampuan membina kehidupan terbaik seterusnya membaiki kehidupan mereka sekali gus merapatkan jurang pendapatan dalam ekonomi.@utusan

Written by

We are Creative Blogger Theme Wavers which provides user friendly, effective and easy to use themes. Each support has free and providing HD support screen casting.

0 comments:

 

© 2013 Sinar Islam. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top