Monday 8 October 2012

Ilmu Keibubapaan Islam Sepatutnya Perkukuh Keluarga Melayu

12:00


Sumbang mahram adalah isu sosial yang sering muncul dan diperkatakan dalam masyarakat kita. Sebagai mana gejala negatif lain, bangsa Melayu mendahului bangsa lain dalam perangkaan mereka yang terbabit. Ini bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.

 Ilmu Keibubapaan Islam Sepatutnya Perkukuh Keluarga Melayu

Dapatan daripada kajian Rozai Sulaiman menunjukkan 71.2 peratus mangsa sumbang mahram di Malaysia adalah kanak-kanak Melayu yang kebanyakannya berusia 16 tahun ke bawah. Kebanyakannya berlaku di Selangor iaitu 190 kes, Johor (179 kes), Sabah (164 kes), Pahang (118 kes), Sarawak (106 kes), Kedah (103 kes), Perak (95 kes), Negeri Sembilan (88 kes), Terengganu (80 kes), Kelantan (64 kes), Melaka (47 kes) dan Perlis (23 kes).

Pengarang Melayu umumnya menerima tanggungjawab mendidik, mengajar, atau menjadi 'khalifah' dalam kapasiti masing-masing"

Perhubungan jenis antara saudara terdekat berlaku pada semua bangsa di Malaysia tetapi lebih banyak membabitkan saudara terdekat dalam kalangan orang Melayu, umpamanya abang dengan adik, adik dengan kakak dan sebagainya.

Kajian Rozai turut mendedahkan pelaku sumbang mahram dalam kalangan keluarga Melayu. Paling ramai dilakukan oleh bapa kandung iaitu 380 orang, diikuti bapa tiri (249), bapa saudara (231), abang ipar atau adik ipar (119), abang kandung (87), sepupu (82), saudara (40), bapa angkat (35), datuk (34), abang tiri (29), datuk saudara (19), abang angkat (16), datuk tiri (7), bapa mentua (5), adik (4) dan anak tiri (1).

Gejala, perangkaan serta golongan mereka yang terbabit seperti di atas, sedang mendedahkan betapa seriusnya masalah pemantapan akidah, pembinaan akhlak, serta seni keibubapaan dalam kalangan keluarga Melayu.

Mereka yang menjadi mangsa dan dimangsakan ialah kanak-kanak atau remaja perempuan Melayu. Masa depan mereka dimusnahkan. Mereka mengheret tragedi sepanjang hayat masing-masing.
Kanak-kanak dan remaja perempuan Melayu itu dimangsakan oleh orang terdekat seperti datuk, bapa, abang dan sebagainya. Meninggalkan kanak-kanak dan remaja perempuan Melayu kepada waris mungkin tidak selamat lagi.

Dalam noveletnya Tivi, Sasterawan Negara Shahnon Ahmad mengungkapkan gejala ini. Shahnon turut menyalahkan ‘suasana’ yang mendorong perbuatan terkutuk itu. Pada Shahnon, pengedaran video lucah secara terang-terangan atau bersembunyi, merangsang kepada perlakuan ganas itu dalam kalangan ahli keluarga.

Kini adegan seks bukan saja boleh ditonton daripada cakera padat tetapi juga melalui pelbagai sumber elektronik yang sukar ditapis. Malah ia boleh ditonton dengan menggunakan telefon bimbit yang turut dimiliki kanak-kanak dan remaja. Ada ibu bapa yang memberikan telefon bimbit kepada anak mereka yang relatifnya masih muda dengan niat serta tujuan asal yang baik. Tetapi tidak mustahil peranti itu disalah gunakan.

Hasanah, anak perempuan Mat Isa dalam novelet Tivi, pernah menonton video lucah seperti Mat Isa sendiri. Oleh itu apabila bapanya, Mat Isa memperkosanya, ia adalah suatu suratan yang ditentukan oleh nafsu masing-masing.

Tivi secara halus mengajak ketua keluarga Melayu agar mempunyai dan memperkasa tanggungjawab agama, pelindung, akidah, dan akhlak diri dan seluruh ahli keluarganya serta mencartakan masa depan yang bersih dan berjaya untuk anak mereka. Dengan cara itu unit keluarga Islam akan menjadi kuat.

Nilai yang ada dalam agama Islam jauh lebih baik daripada nilai kepercayaan yang menjadi pegangan masyarakat China dan India di Malaysia. Tetapi mengapakah masih banyak keluarga Islam yang terjebak dalam gejala negatif seperti sumbang mahram, penagihan dadah, merempit, berjudi, bersekedudukan dan sebagainya?

Jawapannya tentulah tidak lain kerana nilai Islam yang baik itu belum benar-benar hidup dan dibudayakan dalam keluarga Melayu. Sehubungan itu sudah tiba masa agar seni keibubapaan menurut acuan Islam diperkenalkan kepada mereka yang berumah tangga dan yang akan berumah tangga. Di samping itu kanak-kanak dan remaja Islam harus terus didedahkan kepada akidah serta akhlak yang terbimbing.

Karya sastera memang berusaha untuk memberi kritikan sosial. Subteksnya juga berusaha untuk mencadangkan alternatif yang baik demi kemaslahatan umat. Akan tetapi edaran karya sastera amat terbatas. Jumlah peminatnya juga agak kecil. Namun pengarang Melayu umumnya menerima tanggungjawab untuk mendidik, mengajar, atau menjadi ‘khalifah’ dalam kapasiti masing-masing.

Usaha memperkasa akidah serta akhlak umat Islam pelbagai generasi dan peringkat adalah suatu gemblengan bersama secara holistik melalui pendidikan formal dan tidak formal, rakan sebaya yang positif, media massa yang bertanggungjawab, serta kawalan yang lebih ketat ke atas sebarang unsur atau penerbitan yang memudaratkan.

Kita tentunya mengimpikan lahirnya generasi muda Islam yang menguasai pelbagai ilmu ukhrawi dan duniawi, menerajui pelbagai lapangan kehidupan, serta memiliki khazanah akhlak yang kaya raya.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA@bharian

Written by

We are Creative Blogger Theme Wavers which provides user friendly, effective and easy to use themes. Each support has free and providing HD support screen casting.

0 comments:

 

© 2013 Sinar Islam. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top